Monday, May 26, 2014

Cakap baik atau sebaliknya?


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


Apabila saya berumur 18 tahun, baru saya sedari, ada satu perangai baru yang semakin sebati dalam diri saya. Memerhati. Ya. Saya yang dulu, jarang sangat nak perhatikan perkara yang tak ada kaitan dengan saya. Jauh sekali nak ambil tahu dan masuk campur. Agak sombong bunyinya di situ, bukan?

Ya. Mungkin, tingkah saya sedikit demi sedikit mengalami perubahan apabila menjengah ke alam pembelajaran sebagai pelajar tingkatan 6. Hari demi hari dilalui, pelajaran baru satu persatu dipelajari. Ilmu terus menerus dicari. Mungkin, keadaan tersebut telah mengubah corak pemikiran dan kehidupan saya.

Bukan perubahan itu yang saya nak kongsikan dalam entri kali ini. Apa yang saya nak kongsikan kali ini ialah satu perkara baru yang saya belajar melalui perubahan yang telah berlaku pada diri saya.

Belakangan ini, saya lihat begitu ramai orang yang lantang mengeluarkan pendapat dan hujah masing-masing. Terutamanya di laman sosial. Ya. Tidak dinafikan. Kita memang mempunyai hak untuk bersuara. Tapi, adakah dengan hak yang diberi, kita senang hati untuk mengeluarkan kata-kata? Tanpa memikirkan akibat dari kata-kata kita? Tanpa mengambil kira perasaan dan sensitiviti mereka yang melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga?

Baiklah. Kali ini, saya cuma mahu menyatakan pendapat dan pandangan saya.

Setengah dari kita, suka berterus terang dalam apa jua perkara. Bagi saya, berterus terang itu bagus. Cuma, biarlah berpada-pada. Jika kita tidak suka, tegurlah dengan berhemah. Utarakan pendapat dan pandangan dengan bijaksana. Bukan dengan cara menyindir, mengaibkan dan menghina.

Kita dikurniakan akal. Boleh bezakan yang baik dan buruk. Jangan sampai, yang buruk kita anggap baik di mata kita, dan yang baik, kita butakan mata. Tak betul la macam tu. Kan?

Yang buruk, memang patut kita tegur secara membina.
Kalau boleh, tak perlulah mengata sini sana.
Kita hidup untuk mara ke depan. Patutnya kelihatan dan berfikiran matang.
Kenapa perlu membenci dan bermasam muka?
Itu bukan ajaran Rasul kita.

Yang baik pula, adilkah jika kita menutup mata?
Buat tak tahu saja?


Janganlah disebabkan beberapa kelemahan dan keburukan yang kelihatan,
Kita butakan mata untuk tidak melihat dan mensyukuri segala kebaikan dan kesejahteraan yang diberikan.
Janganlah melulu memberikan hukuman.

Berhemahlah. Berhikmahlah. 

Saya berbicara atas dasar seorang manusia.
Yang masih cetek ilmu untuk menongkah arus dunia.
Yang dahagakan pengetahuan.
Yang sayangkan keamanan.
Yang ingin berjuang menggapai cinta dan syurga Tuhan.


Bagi saya,
Akal kita membawa kita kepada apa yang kita fikirkan.
Niat kita mendorong kita kepada apa yang kita lakukan.
Pandangan kita mempengaruhi tindak tanduk yang kita tunjukkan.

Positiflah menghadapi kehidupan.
Teruskan berdoa untuk kebaikan.
Bersyukurlah atas segala nikmat Tuhan.
Musibah, malapetaka, kejahatan, mohon dijauhkan.





Segala tutur bicara,
Setiap aksara taipan jari saya,
Jika mengguris rasa hati sesiapa,
Mohon diampunkan,
Kerana saya juga hamba yang sering melakukan khilaf dan dosa.


Moga kita sentiasa menyampaikan perkara yang baik,
Moga kita sentiasa berkata segala yang baik,
Moga kita sentiasa berusaha menjadi insan yang baik,
Moga Tuhan redhai kita untuk kehidupan yang lebih baik.

Ameen.


Salam sayang,
Nurul Atiqah.




♥ Salam ukhwah. Jazakallahukhairan. ♥

10 comments:

I thank you for the comment. Have a nice day. ^^