Friday, July 19, 2013

Luruskan Cintamu.


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.


Kewajipan mukmin ialah mencintai apa yang dicintai Allah, cinta yang mendorongnya melakukan apa jua yang diwajibkan. Semakin bertambah cintanya, semakin pantas dia menyahut seruan sehingga dia tidak berpada melakukan yang wajib sahaja.

Maksud hadis:

"Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawanya atau nafsunya menjadi pengikut kepada apa yang aku bawa".


Ini bermakna seseorang manusia itu tidak menjadi mukmin yang sempurna imannya sehingga cintanya selari dengan apa yang dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah S.A.W sama ada yang berupa suruhan ataupun larangan. Dia suka kepada apa yang disuruh baginda dan benci kepada apa yang baginda larang.

Kesukaan dan kebenciannya adalah berlandaskan apa yang disuruh atau dilarangoleh Rasulullah S.A.W.


Kenyataan ini selari dengan bebrapa ayat dalam al-Quran yang bermaksud:

"Maka demi Tuhanmu! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya."
(an-Nisa' : 65)

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata."
(a;-Ahzab : 36)

Allah juga mengecam orang yang benci kepada apa yang Allah suka dan suka kepada apa yang Allah benci. 

FirmanNya bermaksud:

"Berlakunya sedemikian, kerana sesungguhnya mereka tidak menyukai apa yang diturunkan Allah lalu menggugurkan amal-amal mereka."
(Muhammad : 9)

"(Kematian mereka dalam keadaan yang buruk) itu, kerana mereka menurut (serta melakukan) perkara-perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah dan mereka pula membenci perkara-perkara yang diredhai-Nya. Oleh itu, Allah gugurkan amal-amal mereka."
(Muhammad : 28)

Justeru, kewajipan mukmin ialah mencintai apa yang dicintai Allah, cinta yang mendorongnya melakukan apa jua yang diwajibkan. Semakin bertambah cintanya, semakin pantas dia menyahut seruan sehingga dia tidak berpada melakukan yang wajib sahaja. Sebaliknya, dia giat memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat juga. 


cc:WeHeartIt


Mukmin juga mesti membenci apa yang dibenci Allah, kebencian yang mendorongnya meninggalkan segala larangan, bermula dengan apa yang haram sehinggalah meningkat kepada meninggalkan yang makruh. 

Dalam konteks ini, nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud :

"Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dicintainya, lebih daripada cintanya kepada dirinya, anak-anaknya, ahli keluarganya dan manusia seluruhnya."
(Muttafaq'alaih)

Tiada siapa boleh mendakwa dia beriman kalau dia tidak mencintai Rasulullah S.A.W lebih daripada cintanya kepada makhluk seluruhnya. Dan cinta kepada Rasulullah S.A.W adalah natijah daripada cinta kepada Allah yang mengutusnya. 

Bukti cinta yang hakiki ialah mengikuti segala suruhan dan menjauhi segala larangan orang yang dicintai. 

Imam at-Tabari meriwayatkan bahawa para sahabat r.a berkata kepada nabi Muhammad S.A.W :

"Ya Rasulullah, sesungguhnya kami sangat-sangat cintakan Allah. Maka kami harap Allah jadikan satu tanda cinta kepadaNya."


Lalu Allah menurunkan firmanNya yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunka dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(ali-'Imran : 31)

Abu Ya'qub an-Nahrujuriy berkata,

"Sesiapa yang mendakwa bahawa dia cintakan Allah tetapi tidak mentaati perintahNya, maka dakwaan itu palsu semata-mata. Dan sesiapa yang mendakwa dia cinta kepada Allah tetapi tidak takut kepada siksaNya, maka sebenarnya dia terpedaya."


cc:WeHeartIt

Seorang penyair mengungkapkan erti cinta yang hakiki :

Engkau derhaka kepada Tuhan 
padahal engkau mendakwa engkau cintakanNya
Demi umurku,
sesungguhnya amat buruk sekali ukuran cintamu
Andai cintamu itu benar dan tulus,
pastilah engkau taat kepadaNya
Kerana orang yang sebenarnya bercinta 
akan menuruti kehendak orang yang dicintainya.


Jelaslah bahawa segala maksiat yang tertonjol dari diri seseorang manusia sama ada berupa perkataan atau perbuatan adalah lahir daripada mendahulukan nafsu dan tidak mengutamakan cinta kepada Allah dan RasulNya. Hal ini samalah dengan orang musyrikin. Mereka adalah penyembah-penyembah hawa nafsu dan tidak mengikuti apa yang diturunkan Allah kepada RasulNya.

Allah berfirman maksudnya :

"Kemudian, kalau mereka tidak menerima seruanmu maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah mengikut hawa nafsu mereka dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayat petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil dalam keingkarannya)." 
(al-Qasas : 50)


Justeru, luruskanlah cintamu, akan sempurnalah imanmu. Jom!



(Perkongsian dari majalah JOM Dakwah Itu Mudah,
04/2012, Isu no. 02, m/s 36-38,
Ustazah Maznah Daud,
Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Syariah,
Universiti Al-Azhar,
Personaliti Jemputan Radio Ikim.Fm)



Yuyu Atiqa:
Selamat menjalani ibadah dengan sebaiknya di bulan yang mulia ini.
Ayuh, jaga diri, jaga iman, jaga hati !
Wassalam. :)








♥ Salam ukhwah. Jazakallahukhairan. ♥

1 comments:

I thank you for the comment. Have a nice day. ^^