Tuesday, June 11, 2013

Bantu Setakat Mampu.


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt.



Sepatutnya nak update cerita ni semalam, tapi terpaksa ditunda ke malam ini disebabkan oleh faktor-faktor tertentu.

Just a real story to share.

Semalam. Seperti biasa, kalau tak ke bilik kaunseling saya akan terus balik ke rumah. Jadi, bila habis sekolah, saya terus ke stesen bas, tunggu bas untuk pulang ke rumah. Lama juga nak tunggu bas datang. Dalam duduk tunggu bas datang, ada seorang makcik kat sebelah tempat duduk saya minta saya tengokkan baki kredit panggilan telefon dia. Jadi, saya dial *122# sebab makcik tu pengguna maxis. Keluar baki, RM0.82.

Kemudian, makcik tu mengucap panjang. Riak wajahnya agak terkejut. Tanpa sempat saya bertanya, makcik tu terlebih dahulu membuka cerita.

Katanya, pada awalnya, kredit panggilannya masih berbaki lebih dari RM10.00. Baru sekejap tadi dia minta seorang gadis yang turut menunggu bas di situ untuk tolong dialkan nombor suaminya yang tertulis 'ayah' pada kenalan (contacts) pada telefonnya.

Tapi, makcik tu mula rasa pelik bila gadis tu minta semula telefon tu lepas selesai percakapannya dengan suaminya. Kebiasaanya, kalau makcik tu minta tolong sesiapa untuk dialkan nombor keluarga terdekat menggunakan telefonnya, setelah tu dah takda apa-apa yang mereka lakukan.

Rupa-rupanya, gadis tu telah mengambil kesempatan dengan memindahkan kredit panggilan telefon makcik tu ke telefonnya mungkin sebanyak RM10.00 sebab baki yang tinggal dalam telefon makcik tu cuma RM0.82 sedangkan dia hanya bercakap sekejap dengan suaminya. Tak logik jika kredit ditelan begitu banyak.

Kesian makcik tu. Sudahlah dia datang dari jauh. Naik bas dari Kuala Lipis, turun di Kuala Krai. Kemudian, naik bas dari stesen di Kuala Krai ke Machang. Kemudian, tunggu bas di stesen Machang untuk balik ke rumahnya di Pasir Puteh. Jauh perjalanannya. Ditambah pula dengan musibah yang tidak diduga seperti ini. Allahu.. Moga ditabahkan hatinya.

Tambahnya lagi, dia tak menyangka yang gadis tu sanggup ambil kesempatan sebab dari percakapan dan perawakannya seperti gadis yang baik. Sebab tu tiada rasa sangsi sewaktu ingin meminta pertolongan gadis tu.

Beberapa minit sebelum saya datang, gadis tu berlalu menaiki bas ke Gua Musang. Disebabkan rasa curiga, sebab tu makcik tu minta saya tengokkan baki panggilan telefonnya. Sedih. Kecewa. Terkilan. Jelas terpancar di wajahnya.

Sangat bersimpati dengan makcik tu. Kerap dia cakap.. Kalau gadis tu betul dalam kesulitan, cakap la elok-elok. Boleh dia bantu setakat termampu. Ini tidak, ambil kesempatan ke atas orang tua sepertinya. Terkilan. Tak selamat dunia akhirat budak tu, katanya. Istighfar.

Bas sampai. Saya berjalan beriringan dengan makcik tu. Saya tolong bawakan beg pakaiannya. Simpati. Hmm. Terlintas di minda. Macam mana lah kalau mak atau keluarga terdekat kita yang berada di tempat dia ketika tu, mesti kita pun turut sama terkilan kan? Allahu..

Dalam bas, makcik tu duduk di sebelah saya. Hampir sampai area rumah saya, saya tekan loceng. Sebelum keluar, saya bersalaman dengan makcik tu. Sempat juga berpesan agar makcik berhati-hati kelak. Moga Allah melindunginya. Satu senyuman terakhir saya berikan pada makcik tersebut sebelum turun dari bas.

Satu kelegaan, menjadi pendengar kepada makcik tu. Sekurang-kurangnya, dia ada seseorang untuk berkongsi rasa dukanya. Allah.. Allah.. Allah..




Pengajaran..

Jangan pernah cuba ambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Mungkin Allah tak tunjuk pembalasannya sekarang, tapi percayalah pembalasan itu tetap ada. Tidak sekarang, hari perhitungan kelak janjinya!
Empati. Sifat yang perlu ada dalam diri. Juga, cuba memberi bantuan setakat yang mampu. Tak mampu bagi lebih, sedikit pun jadi. Sekurang-kurangnya, dapat ringankan rasa berat beban yang ditanggung seseorang. Ikhlaskan diri ketika membantu. Niatkan semata-mata kerana Allah. Pasti jiwa tenang. Sekaligus kita dapat tenangkan insan yang dibantu tadi. Terakhir, persiapkan diri untuk menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku. Redha dengan ketentuan Allah. Percaya akan hikmah yang tersedia di sebalik ujian yang diturunkanNya. Lillahitaala.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Satu pengalaman yang memberi pengajaran yang besar buat saya walaupun sekadar melalui penceritaan dari seorang individu yang tidak dikenali. Yang pasti, dia juga sama seperti saya. Seorang hamba Allah di muka bumi bertuah ini.

Terima kasih sahabat yang sudi membaca kisah realiti ni. Yang mana boleh dijadikan pengajaran, silakan ambil. Jika tidak, mohon ampun dan maaf setulus hati.

#Bahasa agak skema. Entah kenapa. Mungkin faktor emosi ketika menaip. Huhu.

Jaga iman. Jaga hati. Jaga diri. :)

Wassalam.





♥ Salam ukhwah. Jazakallahukhairan. ♥

Post a Comment

I thank you for the comment. Have a nice day. ^^